PENGENALAN

Program pengajian jarak jauh dimulakan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1971 sebagai Rancangan Pengajian Luar Kampus. Ia merupakan rancangan pengajian terulung dan tertua di Malaysia yang menawarkan pengajian peringkat universiti secara jarak jauh.

Mulai tahun 1994, rancangan ini secara rasminya dikenali sebagai Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ). RPJJ USM dikendalikan secara khusus oleh Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ)  USM. Buat masa ini, PPPJJ mempunyai sekitar 80 orang staf akademik dan 45 staf pentadbiran dan sokongan sepenuh masa yang membantu dalam pelaksanaan rancangan pengajian jarak jauh ini.

RPJJ USM menggunakan pendekatan pembelajaran teradun yang mengambilkira keberkesanan pedagogi dan keberkesanan kos serta mengambilkira perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) semasa. Bahan-bahan pengajaran diedarkan kepada pelajar dalam pelbagai format manakala proses pengajaran dan pembelajaran diadakan dalam pelbagai pendekatan baik secara bersemuka (bertatap muka) atau menggunakan perantara TMK.

Pelajar perlu memilih satu bidang pengkhususan (major) dan satu bidang minor sepanjang tempoh pengajian. Memandangkan RPJJ USM menyediakan peluang pengajian peringkat  universiti secara sambilan kepada pelajar-pelajar yang sudah mempunyai pekerjaan, tempoh pengajian yang ditetapkan ialah selama 4 tahun minimum dan 12 tahun maksimum.

.

 

usma8a4a5facebookinstagramyoutube1tiktok